Pembinaan Lebih Banyak Monorel Di KL

GREATER Kuala Lumpur merupakan antara 12 bidang ekonomi utama negara (NKEA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) pada bulan lalu.
Ia bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya bertaraf dunia dan salah satu pendekatan bagi mencapai matlamat itu adalah mewujudkan sistem pengangkutan bersepadu.
Rentetan daripada rancangan itu, pengangkutan awam dinaik taraf termasuk pelaksanaan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) secara besar-besaran.
Scomi Engineering Bhd, penyedia penyelesaian pengangkutan antara yang memberi cadangan kepada kerajaan untuk mengembangkan perkhidmatan monorel dalam membantu usaha mengukuhkan sistem pengangkutan di ibu negara.
Timbul cakap-cakap mengenai monorel bakal menjadi trend pengangkutan awam bandar di negara ini terutama Kuala Lumpur.
Bukan sesuatu yang mustahil bagi bandaraya yang memerlukan penjimatan ruang dan kos bagi pembangunan lebih efektif.
Adakah pengembangannya bakal mengubah landskap Kuala Lumpur dengan infrastruktur pengangkutan lebih moden seperti di Jepun dan Amerika Syarikat (AS)?
Presiden Scomi Engineering, Syahrunizam Samsudin bagaimanapun menjelaskan, monorel bukan dilihat sebagai satu peralihan pengangkutan awam apatah lagi menjejaskan perkhidmatan transit sedia ada.
Ini kerana katanya, perkhidmatan monorel sudah lama diperkenalkan, malah dijadikan sebagai pengangkutan awam secara komersial bermula di Seattle pada tahun 1965.
“Namun saya tidak menafikan monorel kini mula dikenali di Malaysia selepas ia diperluaskan sebagai aplikasi rel transit bandar sejak dua tahun lalu.
“Penggunaannya bersesuaian dengan bandaraya yang semakin sesak dan memerlukan pembangunan yang menjimatkan ruang dan kos,” katanya kepada Mingguan mStar.
Perkembangan global
Anak syarikat Scomi Group Bhd itu bukan calang-calang kerana produk dan perkhidmatan monorelnya kini dikenali kebanyakan negara dunia.
Kejayaan Scomi Engineering bermula selepas melancarkan sistem monorel pertama iaitu KL Monorail di negara ini pada tahun 2003. KL Monorail merupakan sistem transit awam dalam bandar sejauh 8.6 kilometer yang merentasi 11 stesen di sekitar Kuala Lumpur seperti Bukit Bintang, Chow Kit dan KL Sentral.
Scomi Engineering kini sedang melaksanakan projek monorel di Mumbai sejauh 19.54 kilometer daripada Pembangunan Wilayah Metropolitan Mumbai (MMRDA).
Projek bernilai RM1.85 bilion itu merupakan projek sulung syarikat tempatan itu di luar negara dengan kerjasama rakan konsortium, Larsen and Toubro Ltd.
Bukan sekadar di Mumbai, Scomi Engineering optimis meneruskan pengembangan globalnya di Brazil dengan membida projek-projek monorel di negara itu.
Kerajaan Persekutuan Brazil telah memperuntukkan sejumlah AS$12 bilion (RM38.66 bilion) untuk pembangunan infrastruktur awam terutama persediaannya menjadi tuan rumah perlawanan bola sepak Piala Dunia di Sao Paolo dan pembidaan untuk Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.
Sebelum ini, Scomi Engineering turut membida cadangan membina monorel sepanjang 59 kilometer bernilai AS$2.4 bilion (RM7.73 bilion) bagi fasa pertama di Bangalore, India.
Ia merupakan kerjasama dengan Geodesic Techniques Pvt Ltd dan menjadi strategi berterusan dalam pelan pengembangan perniagaan di India untuk membida lebih banyak projek monorel di beberapa bandar utama seperti New Delhi, Chennai dan Kolkalta.
Pembangunan efisien
Sejajar dengan pengembangan global, Scoming Engineering memperkenalkan monorel generasi akan datang iaitu Aplikasi Rel Transit Bandar Scomi (SUTRA).
Ia bertujuan memenuhi standard antarabangsa selain meningkatkan keupayaan dan kapasiti sekaligus memudahkan rancangan pembangunan pengangkutan.
Syahrunizam berkata, syarikat mahu memastikan produk dan perkhidmatan monorel mempunyai kecekapan tenaga, lebih ringan dan beroperasi lebih senyap.
Menurut beliau, Scomi Engineering menawarkan harga kompetitif tetapi tahap kualiti dan prestasi kekal dipertingkatkan.Ini katanya, termasuk keselesaan kerana pada masa ini masyarakat menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Saya berpendapat bahawa monorel sepatutnya dijadikan sebagai pengantara bagi pengangkutan awam dan aliran transit di Kuala Lumpur.
“Kos pelaksanaan sistem berkenaan lebih murah, malah memudahkan hubungan antara bandar raya dan pinggir bandar terutama kawasan perumahan,” ujarnya.
Beliau menambah, pengangkutan awam sepatutnya dipelbagaikan dan sistem monorel membantu memperluaskan hubungan itu seiring pembangunan pesat Kuala Lumpur.
Monorel menggunakan kuasa elektrik menyebabkan pengangkutan itu bersifat mesra alam sekaligus penggunaannya dapat mengurangkan pencemaran udara.
Selain itu katanya, kos pengangkutan awam di negara ini masih lagi berpatutan, namun mempunyai kos monorel lebih efisien malah mempunyai kecekapan dan keupayaan dari segi operasi.
Syahrunizam turut menyifatkan negara perlu menunjukkan sokongan kepada pembangunan produk tempatan kerana Jepun dan Korea menggunakan keretapi jenama keluaran tempatan.
Justeru, beliau percaya monorel bakal menjadi pengangkutan awam utama di negara ini pada masa akan datang berikutan pembangunannya bersesuaian dengan kepesatan bandar.
“Bukan mudah untuk membuat projek di kawasan padat, sesak dan sudah membangun menyebabkan sebarang perancangan akan mengambil masa lama.
“Projek pengangkutan awam lain mungkin berlanjutan sehingga 10 tahun tetapi monorel hanya memerlukan masa dua setengah tahun untuk menyediakan satu sistem,” katanya.
sumber:MStar Online

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Leave a Reply

FarEast Roslan 2010. Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.